Sunday 11 November 2012

STRATEGI PENGAJARAN BAHASA MELAYU

KONSEP STRATEGI
  • Menurut kamus dewan (1998), strategi bermaksud rancangan yang teratur untuk mencapai matlamat atau kejayaan.
  • Strategi juga bermakna kebijaksanaan dalam menguruskan sesuatu perkara
  • Dalam bidang pendidikan, strategi merujuk kepada kebijaksanaan memilih pendekatan serta kecekapan merancang kaedah dan teknik dalam satu-satu pengajaran berdasarkan objektif pelajaran yang telah ditentukan.
  • Di dalam sesuatu waktu pelajaran, strategi P&P merangkumi perkara-perkara berikut:
  • Penentuan pendekatan berdasarkan objektif pelajaran.
  • Pemilihan kaedah dan teknik mengajar berdasarkan pendekatan.
  • Penyusunan kaedah dan teknik mengajar secara sistematik dengan mengikut prinsip dan teori pembelajaran.
  • Pengagihan masa dan langkah mengajar untuk setiap faedah dan teknik mengajar yang telah disusun.
  • Pengagihan bahan murid mengikut keperluannya dalam setiap kaedah dan teknik mengajar.
  • Pengurusan kelas mengikut pendekatan kaedah dan teknik mengajar yang sesuai.
  • Strategi pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di peringkat sekolah rendah menekankan penggabungjalinan, penyerapan, penilaian, pengayaan, dan pemulihan. Ini selaras dengan usaha memenuhi konsep bersepadu dalam Falsafah Pendidikan Negara.
  • Namun demikian, guru-guru adalah digalakkan untuk menggunakan pelbagai kaedah mengajar yang sesuai dengan kebolehan murid.
  • Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran adalah bergantung kepada pengolahan teknik dan penggunaan bahan bantu mengajar yang dapat merangsang dan menggalakkan murid-murid berkomunikasi, berinteraksi, dan berfikir.
PENGGABUNGJALINAN 
  • Penggabungjalinan memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Melalui proses ini, beberapa kemahiran dapat dikuasai serentak.
  • Cara ini juga dapat mengelakkan kebosanan dalam proses pembelajaran. Kemahiran-kemahiran boleh digabungjalinkan, sama ada kemahiran yang terdapat dalam kemahiran berbahasa atau kemahiran daripada mata pelajaran lain. 
PENYERAPAN 
  • Dalam pengajaran bahasa Melayu, unsur-unsur ilmu dan nilai-nilai murni juga boleh diserapkan. Penyerapan ini mengandungi pelbagai bidang ilmu seperti sains, matematik, sejarah, dan lain-lain.   
PENGAYAAN 
  • Program pengayaan perlu diberi penekanan dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah kerana keadaan murid yang berbeza dari segi kebolehan, keupayaan, bakat, dan minat.
  • Murid ini hendaklah  diberikan bahan yang berbeza-beza untuk digunakan secara bersendirian atau dengan bimbingan guru.
  • Bahan-bahan seperti bahan bacaan tambahan, kad-kad kerja, permainan, dan bahan-bahan aktiviti boleh diberikan kepada murid yang telah menguasai kemahiran-kemahiran dalam jangka masa yang ditetapkan atau lebih awal daripada jangka masa yang ditentukan.  
     
PEMULIHAN 
  • Program pemulihan disediakan untuk membantu murid menguasai kemahiran-kemahiran asas yang belum dapat dikuasai dalam tempoh masa yang ditetapkan.
  • Bahan-bahan untuk program ini terdiri daripada kad-kad, carta, bahan maujud, alat permainan, dan lain-lain yang boleh digunakan berperingkat-peringkat daripada yang mudah kepada yang lebih sukar. Pelaksanaan program ini adalah mengikut kadar kemampuan murid menguasai sesuatu kemahiran.  
PENILAIAN 
  • Penilaian dianggap sebagai sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Penilaian merupakan suatu aktiviti untuk mendapatkan maklumat yang berguna bagi menentukan pencapaian sesuatu objektif pengajaran atau pembelajaran.
  • Oleh itu, penilaian perlulah dijalankan berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hanya melalui proses penilaian berterusan dapat dipastikan jenis tindakan susulan yang perlu diambil ke atas seseorang murid, sama ada untuk menjalankan  pemulihan atau pengayaan.
  • Dan setelah itu barulah dapat dipastikan jenis aktiviti pemulihan atau aktiviti pengayaan yang sesuai bagi murid. Dengan cara yang sedemikian, selain mengetahui tahap pencapaian, kelemahan murid dapat dipulihkan sebelum kelemahan-kelemahan pembelajaran terkumpul di tahap yang lebih tinggi.
Rumusan
Pemilihan strategi haruslah berdasarkan pertimbangan terhadap teori pembelajaran, pendekatan, kaedah dan teknik mengajar. Pemilihan dan pengurusan strategi yang sesuai akan menghasilkan pencapaian objektif yang berkesan.

1 comment:

  1. Tahniah, blog yang banyak maklumat untuk mendapat ilmu dan teknik pengajaran yang sesuai dengan murid

    ReplyDelete